Walt Disney
Walter Elias Disney
Walter Elias Disney lahir pada 5 Disember 1901 kepada bapanya Elias Disney yang berketurunan Ireland-Kanada, dan ibunya Flora Call Disney yang berketurunan Jerman-Amerika, di 2156 N. Tripp Ave, Hermosa, Chicago. Nenek moyang Walt Disney berhijrah dari Gowran, Kaunti Kilkenny di Ireland. Arundel Elias Disney, moyang kepada Walt Disney, lahir di Kilkenny, Ireland pada 1801. Arundel ialah keturunan Hughes dan anaknya Robert d'Isigny, berasal dari Perancis tetapi berlayar ke England bersama William I pada tahun 1066., maka nama d'Isigny diinggeriskan menjadi Disney. Pada tahun 1906, ketika Walt berusia empat tahun, Elias sekeluarga berpindah ke ladang di Marceline, Missouri, di mana adiknya Roy baru membeli tanah. Sewaktu di Marceline, Walt mengembangkan minat terhadap seni lukis. Salah seorang jiran keluarga Disney, seorang doktor bersara bernama "Doc" Sherwood, mengupah Walt untuk melukis gambar kuda belaan Sherwood, iaitu Rupert. Beliau turut meminati kereta api di Marceline yang dihidupkan oleh perkhidmatan kereta api Atchison, Topeka and Santa Fe Railway yang melaluinya. Walt gemar mendekatkan telinganya dengan landasan untuk menunggu kereta api datang, lebih-lebih lagi yang dipandu oleh bapa saudaranya, iaitu jurutera Michael Martin. Keluarga Disney menetap di Marceline selama empat tahun, sebelum berpindah ke Bandaraya Kansas pada tahun 1911, di mana Walt dan adiknya Ruth menghadiri Benton Grammar School, di mana beliau bertemu dengan Walter Pfeiffer. Kelau Pfeiffer merupakan pelakon teater terkenal yang memperkenalkan persada anekarama dan perfileman kepada Walt. Tidak lama kemudian, Walt lebih meluangkan masanya bersama keluarga Pfeiffer berbanding keluarganya sendiri. Pada masa yang sama, beliau menghadiri kursus kanak-kanak Institut Seni Bandaraya Kansas pada setiap Sabtu.