Walt Disney
Walter Elias Disney
Disney dan abangnya mengumpul duit untuk menubuhkan studio kartun di Hollywood. Perlunya mencari seorang pengedar untuk filem-filem terbarunya Alice Comedies yang mula diusahakannya ketika di Bandar Raya Kansas, tetapi tidak dapat diedarkannya dahulu, Disney menghantar cetakan belum siap kepada pengedar Margaret Winkler di New York. Winkler membalas Disney dengan minatnya untuk mengedarkan filem-filem gabungan aksi sebenar dan animasi karya Disney yang diilhamkan oleh kisah dongeng Alice's Wonderland itu. Virginia Davis (bintang aksi sebenar Alice’s Wonderland) dan keluarganya berpindah dari Bandar Raya Kansas ke Hollywood atas permintaann Disney, begitu juga Iwerks sekeluarga. Ini menandakan lahirnya Disney Brothers' Studio yang terletak di Hyperion Avenue di daerah Silver Lake sehingga tahun 1939. Pada tahun 1925, Disney mengupah seorang wanita muda bernama Lillian Bounds untuk melukis seluloid animasi. Setelah tidak lama keluar bersama, mereka berdua pun berkahwin pada tahun itu. Siri terbaru Alice Comedies yang dibintangi oleh Dawn O'Day, Margie Gay dan Lois Hardwick yang bersilih ganti melakonkan watak Alice, berjaya mendapat sambutan penonton. Menjelang penghujung siri itu pada tahun 1927, tumpuan lebih diberikan kepada watak-watak animasi, terutamanya kucing bernama Julius yang menyerupai Felix the Cat.